Anugerah Pendidik Global 2026 Sasar 1,000 Penyertaan Daripada 80 Negara

Published on April 30, 2026 by admin_gea

TANJONG MALIM, 26 Apr – Anugerah Pendidik Global (GEA) 2026 menyasarkan sejumlah 1,000 penyertaan daripada 80 negara dengan penambahan kategori pemenang berbanding anugerah sama tahun lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata program anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menerima 578 pencalonan daripada 58 negara pada edisi sulungnya pada 2025, yang turut mendapat pengiktirafan di peringkat global.

“Para pendidik di seluruh dunia akan menghantar pencapaian dan apa yang mereka lakukan dan di situ akan dipilih antara mereka yang terbaik. Pada masa sama, kami dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat antarabangsa tentang sistem pendidikan Malaysia.

“Mereka bukan hanya datang untuk menerima apa yang disebut sebagai GEA tetapi mereka akan didedahkan dengan lawatan ke sekolah-sekolah untuk melihat bagaimana model pendidikan negara kita.

”Bila pulang ke negara masing-masing, mereka akan melihat bagaimana model itu dapat dilaksanakan di peringkat negara mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Penutupan Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 dan Majlis Prapelancaran GEA 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.