UPSI Angkat Martabat Pendidikan Global Menerusi Global Educator Award

Published on April 1, 2026 by admin_gea

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh kedudukannya di peringkat global menerusi penganjuran Global Educator Award dan Great Teacher Summit yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah memperluas usaha pengantarabangsaan Institusi Pendidikan Tinggi negara. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, inisiatif berprestij itu bukan sahaja mengangkat reputasi UPSI sebagai universiti pendidikan terulung di Malaysia, malah berpotensi menempatkannya di peta dunia sebagai pusat rujukan dalam bidang pendidikan.

Menurut beliau, UPSI yang mempunyai sejarah lebih 100 tahun perlu mengambil peluang untuk mengantarabangsakan nilainya agar terus relevan dalam landskap pendidikan moden. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Global Educator Award dan Great Teacher Summit di Dewan Tuanku Canselor UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, malam tadi.

Zambry turut menzahirkan rasa bangga terhadap sambutan luar biasa yang diterima bagi penganjuran julung kali itu dengan penyertaan pendidik dari lebih 50 negara, sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran UPSI dalam bidang pendidikan. Beliau juga memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi akan meneliti bentuk bantuan bagi memperkukuh penganjuran program tersebut pada tahun hadapan termasuk menambah kategori baharu di setiap peringkat pendidikan.

“Program ini boleh diperluaskan kepada pelbagai kategori seperti pendidikan kanak-kanak, prasekolah, rendah, menengah, tinggi hinggalah ke universiti. Bermula tahun hadapan, UPSI akan menjadi lebih meriah dengan acara antarabangsa seperti ini,” katanya.