UPSI perluas jangkauan antarabangsa melalui penganjuran Global Educator Award — Zambry
TANJONG MALIM, 4 OKT — Penganjuran Global Educator Award dan Great Teacher Summit oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disifatkan sebagai langkah penting ke arah memperkukuh usaha pengantarabangsaan Institusi Pendidikan Tinggi negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja mengangkat reputasi UPSI sebagai universiti pendidikan terulung di negara ini, malah berpotensi menempatkannya di peta dunia sebagai pusat rujukan dalam bidang pendidikan.
“Saya nak sebutkan bahawa ini adalah satu usaha ke arah pengantarabangsaan institusi-institusi pendidikan tinggi kita.
“UPSI dengan sejarah lebih 100 tahun sewajarnya mengambil peluang mengantarabangsakan nilainya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Global Educator Award and Great Teacher Summit di Dewan Tuanku Canselor UPSI, di sini malam ini.