KPT jangka peruntukan lebih tinggi susulan pelancaran Pelan Pendidikan Tinggi 2026-2035
TANJONG MALIM: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjangkakan peruntukan lebih besar akan diberikan kepada kementerian itu susulan pelancaran Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 yang dijadualkan tahun depan.
Menteri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata peruntukan berkenaan akan merangkumi pelbagai aspek penambahbaikan sistem pendidikan tinggi negara sejajar dengan pelaksanaan pelan berkenaan.
“Jika digabungkan antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, kita akan dapati bahawa bajet untuk pendidikan sentiasa berada di kedudukan teratas.
“Kali ini juga kita menjangkakan serta mengharapkan bajet yang sama, malah mungkin terdapat perkara baharu yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri nanti. Harapan kita, akan ada pertambahan,” katanya selepas merasmikan Anugerah Pendidik Global (GEA) 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, malam tadi.