UPSI Perluas Jangkauan Antarabangsa Melalui Penganjuran Global Educator Award — Zambry
Tanjong Malim, 4 Oktober 2025 – Penganjuran Global Educator Award dan Great Teacher Summit oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disifatkan sebagai langkah penting ke arah memperkukuh usaha pengantarabangsaan Institusi Pendidikan Tinggi negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja mengangkat reputasi UPSI sebagai universiti pendidikan terulung di negara ini, malah berpotensi menempatkannya di peta dunia sebagai pusat rujukan dalam bidang pendidikan.
“UPSI dengan sejarah lebih 100 tahun sewajarnya mengambil peluang mengantarabangsakan nilainya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Global Educator Award and Great Teacher Summit di Dewan Tuanku Canselor UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah malam tadi.
Zambry berkata, penganjuran julung kali anjuran UPSI itu mendapat sambutan luar biasa dengan pembabitan pendidik dari lebih 50 negara, sekali gus menunjukkan pengiktirafan terhadap kepakaran universiti berkenaan.
Beliau berkata, kementeriannya juga akan meneliti bantuan yang boleh disalurkan bagi memperkasa program tersebut pada tahun hadapan termasuk menambah kategori baharu bagi setiap peringkat pendidikan.
Zambry turut menyatakan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi untuk terus mempromosikan program berkenaan di peringkat global sebagai sebahagian usaha memartabatkan pendidikan tinggi Malaysia di persada dunia.
“Sebagai contoh, boleh diperluaskan daripada kategori pendidikan kanak-kanak, prasekolah, pendidikan rendah, menengah, tinggi hinggalah ke universiti. Jadi mulai tahun hadapan, UPSI akan lebih meriah dengan acara antarabangsa seperti ini,” ujar beliau.
Pada majlis itu, Zambry turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Global Educator Award 2025 yang terdiri daripada lima kategori utama. Anugerah Inspiring Educational Leader dimenangi oleh Madam Cheah Gaik Imm dari SJKC Chung Hwa Langkawi, Malaysia, manakala Prof. Julio Manuel Pereyra diumumkan penerima Community Outreach Educator Award.
Kategori Transforming Educational Institution Award pula diberikan kepada African Leadership Academy dari Afrika Selatan, manakala Esteemed Teacher Educator Award dimenangi oleh Prof. Dr Pasi Sahlberg dari University of Melbourne, Australia. Bagi kategori Avant-Garde Teacher Award, anugerah tersebut diterima oleh Mr. Deep Narayan Nayak, yang dikenali sebagai Teacher of the Streets dari India.